Sign In

INAUGURAL Ceremony of Peritoneal Dialysis Patient Data Monitoring in conjuction with World Kidney Day 2024

PRESS INFO

​MAJLIS PERASMIAN PEMANTAUAN DATA PESAKIT DIALISIS PERITONEAL SEMPENA SAMBUTAN HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA 2024

 

Sabtu, 12 Ramadhan 1445H bersamaan 23 Mac 2024M – Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Perasmian Pemantauan Data Pesakit Dialisis Peritoneal Sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 pada hari ini bertempat di Tingkat 1, Dewan Serbaguna, Pusat Dialisis Rimba, Gadong.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada acara ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.

 

Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Tetamu Kehormat dan Acara Perasmian Sistem Pemantauan Data Pesakit Dialisis Peritoneal dan seterusnya menyaksikan Demonstrasi Penggunaan Sistem Pemantauan Data Pesakit.

 

Sesuai dengan tema sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia tahun ini, iaitu 'Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua – Memantapkan Akses Rawatan yang Saksama dan Amalan Ubat yang Optima', pengenalan sistem ini merupakan satu langkah penting dalam usaha Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Renal untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi pesakit yang menghadapi masalah buah pinggang. Langkah ini melibatkan peningkatan akses kepada rawatan yang saksama dan pelaksanaan amalan ubat yang terbaik. Dengan adanya sistem pemantauan yang baru diperkenalkan ini, akan meningkatkan lagi faedah rawatan. Para profesional kesihatan akan dapat merancang rawatan secara lebih terarah dan berkesan bagi setiap pesakit yang menjalani dialisis peritoneal.

 

Majlis diteruskan lagi dengan lawatan ke rumah pesakit dialisis peritoneal yang bertempat di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Rimba, Gadong.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Dr Ang Swee Hui, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Ketua-Ketua Jabatan, beserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

 

- T A M A T -

 

Tarikh: 12 Ramadhan 1445H / 23 Mac 2024M

Rujukan: KK/PR/3/1


Attachments