Sign In

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BINHAJI JAAFAR, MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI STROK SEDUNIA 2019

 

TEMA:  "DON'T BE THE ONE"

 

Penyakit Strok atau Angin Ahmar adalah sejenis penyakit tidak berjangkit yang boleh dihidapi oleh sesiapa pun, ahli keluarga kita, sahabat kita, rakan sekerja kita atau seseorang yang kita kenali walau di mana pun seseorang itu berada. Setiap individu di dunia ini, termasuk di Negara Brunei Darussalam, perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengurangkan risiko dari menghidapinya serta bersama-sama berjuang untuk mencegah, merawat dan mengawalnya. Bagi sama-sama memperingati perjuangan ini, Hari Strok Sedunia di sambut pada setiap 29 Oktober dan pada tahun ini, tema Hari Strok Sedunia adalah, "1 in 4 of us will have stroke. Don't be the one". Tema ini memberi membawa maksud bahawa 1 dalam 4 dari kalangan kita berkemungkinan akan mengalami strok dalam jangka hayat kita, dan kita sebenarnya mempunyai kuasa untuk mencegah dari ianya berlaku kepada diri kita.  Selain itu, tema ini juga memberi fokus dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risiko sepanjang hayat setiap individu untuk mengalami serangan strok.

 

Strok terjadi apabila aliran darah ke otak terganggu dan sel-sel otak tidak mendapat oksigen atau nutrien yang mencukupi yang menyebabkan kerosakan pada bahagian otak yang terjejas. Kerosakan pada otak yang dimaksudkan boleh mengakibatkan perubahan kekal seperti kelemahan pada lengan atau kaki, hilang keseimbangan badan, kesukaran dalam pertuturan, masalah ingatan (demensia) yang menyebabkan ketidakupayaan, atau dalam kes yang lebih serius ianya boleh membawa kepada kematian. Oleh kerana itu, strok telah dikenalpasti sebagai punca utama beban ketidakupayaan atau disability di seluruh dunia dan menyebabkan satu dalam sepuluh (1 dalam 10) kematian setiap tahun. Ianya juga menjadi penyebab kematian kedua terbesar di kalangan orang berumur 60 tahun ke atas di seluruh dunia.

 

Di Negara Brunei Darussalam, penyakit strok adalah punca kematian yang ke-4 tertinggi.  Perkara ini bukan sahaja belaku di Negara kita malahan hasil kajian beban penyakit global (Global Burden of Disease) yang baru dibuat oleh World Stroke Organization telah menunjukkan bahawa secara global, risiko sepanjang hayat bagi sesorang untuk menghidap strok telah meningkat yang mana 1 dalam 4 orang berkemungkinan akan mengalami strok dalam jangka hayat mereka, seperti yang diungkapkan dalam tema tahun ini.  Apa yang lebih membimbangkan, satu kajian yang baru-baru ini dibuat oleh Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre, Pantai Jerudong Specialist Centre menunjukkan bahawa 17% dari 233 orang pesakit strok yang dijumpai dari bulan Disember 2018 hingga Mei 2019 diklasifikasikan sebagai strok muda iaitu pesakit strok di bawah umur 45 tahun.

 

Di seluruh dunia pula, terdapat kira-kira 80 juta mangsa strok yang terselamat (survivor strok) dan dan 50 juta orang dari jumlah tersebut kini menempuh hidup dengan ketidakupayaan ataupun disability  yang kekal. Kebanyakkan individu setelah mengalami strok tidak akan lagi dapat menjalani kehidupan yang sama; tetapi dengan adanya penjagaan yang betul dan sokongan daripada orang sekeliling, mereka akan dapat menikmati kualiti kehidupan yang baik. Menghubungkan pesakit strok dengan mereka yang juga pernah mengalami strok; memberi nasihat praktikal mengenai cabaran-cabaran harian yang mereka hadapi; atau bahkan sekadar membaca atau mendengar cerita mengenai pengalaman survivor strok dan kejayaan pemulihan mereka alami adalah antara tindakan-tindakan yang mampu membantu mangsa strok dalam menyesuaikan diri mereka dengan kehidupan yang baru.

 

Tiga mesej utama sempena Hari Strok Sedunia yang ingin saya sampaikan di sini iaitu:

 

1.      Pertama - Satu dalam empat (1 dalam 4) dari kita akan mengalami strok dalam jangka hayat kita. Namun, hampir semua iaitu 90% strok dapat dicegah dengan mengawal faktor-faktor risiko seperti tekanan darah tinggi (hypertension), kolesterol tinggi, kencing manis, penyakit buah pinggang kronik, obesiti dan merokok. Kebanyakan faktor-faktor risiko ini boleh dicegah dan dirawat menerusi gaya hidup sihat dan rawatan yang berkesan.

 

2.      Kedua - Mengetahui tanda-tanda strok dan mendapat rawatan dengan segera boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kesan strok. Adalah penting bagi semua untuk mengenali tanda-tanda strok dengan PANTAS (atau BE FAST):

 

    • PERGERAKKAN: Tiba-tiba hilang keseimbangan atau koordinasi badan.

      (BALANCE: Sudden loss of balance or coordination)

       
    • ADA KESULITAN MELIHAT: Perubahan penglihatan secara tiba-tiba, seperti penglihatan berganda atau buta pada sebelah mata.

      (EYE: Double vision or loss of vision in one eye)

       
    • NAMPAK WAJAH MENJEBEK: Menjebek atau rasa kebas pada sebelah muka yang menyebabkan senyuman tidak seimbang.

      (FACE: Face drooping or weakness on one side)

       
    • TANGAN KEBAS: Kelemahan pada satu tangan, dan seperti tidak dapat mengangkat kedua-dua tangan.

      (ARM: Sudden weakness of an arm, and as if having difficulty to raise both arms)

       
    • AMAT SUKAR BERCAKAP: Ucapan tidak jelas atau ucapan yang sukar untuk difahami.

      (SPEECH: Trouble speaking or understanding)

       
    • SEGERA DAPATKAN BANTUAN: Dapatkan rawatan dengan segera di Jabatan Kecemasan dengan menghubungi 991, walaupun tanda-tanda seolah-olah hilang.

      (TIME: Act quickly to go to the Emergency Department by calling 991, even if the signs appear to cease)

       

3.      Ketiga - Bagi survivor penyakit strok, mereka masih dapat menjalani kualiti kehidupan yang baik dengan adanya penerimaan pemulihan, penjagaan dan sokongan yang tepat. Walaupun ramai survivor akan menjalani  kehidupan mereka dengan beberapa bentuk ketidakupayaan atau disability yang menyebabkan cabaran praktikal, emosi dan kewangan, progres masih boleh dibuat dan kualiti hidup dapat diperbaiki dengan bekerja dengan pasukan penjagaan kesihatan terlatih, membuat rutin-rutin baru dan membuat pembaikan secara step-by-step menuju matlamat yang ingin dicapai.

 

Sempena Hari Strok Sedunia ini juga, Kementerian Kesihatan menerusi Pusat Promosi Kesihatan dan Perkhidmatan Penjagaan Asasi akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan lain seperti Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre, Pantai Jerudong Specialist Centre untuk meningkatkan kesedaran tentang pencegahan dan rawatan strok termasuk kempen-kempen kesedaran dan penyediaan rawatan perubatan, pembedahan dan pemulihan yang selamat dan efektif.

 

 

Walaupun kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa 1 dari 4 kita akan mengalami strok dalam hidup kita, dan strok boleh berlaku pada sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, ingatlah bahawa hampir semua strok boleh dicegah dan setiap individu masing-masing harus bertindak untuk melakukan pencegahan.  Akhirnya, marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab untuk mencegah strok dan memberi sokongan kepada mereka yang terjejas oleh strok melalui pendekatan whole-of-nation, dalam sama-sama kita menuju ke arah warga yang sihat. #dontbetheone


Attachments