Sign In

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA 2020

14 JUN 2020

TEMA: "DARAH SELAMAT MENYELAMATKAN NYAWA"

("SAFE BLOOD SAVES LIVES")


1.    Setiap tahun, jutaan nyawa di seluruh dunia dapat diselamatkan melalui pemindahan darah dan produk darah. Di Negara Brunei Darussalam sahaja, terdapat berbilang pesakit dalam berbagai keadaan yang memerlukan pemindahan darah dan produk darah setiap hari sama ada dengan segera atau secara berterusan; dalam keadaan biasa atau masa kecemasan seperti kemalangan, trauma dan bencana. Pesakit kecemasan dan yang mengalami pendarahan semasa menjalani pembedahan serta wanita atau ibu-ibu yang mengalami pendarahan teruk semasa kehamilan atau semasa melahirkan anak seringkali memerlukan pemindahan darah dengan segera. Manakala pesakit seperti kanak-kanak yang mengalami anemia (kurang darah) yang menderita akibat penyakit darah dan tulang sumsum (blood and bone marrow disorders) seperti Thalassaemia dan Leukaemia seringkali memerlukan pemindahan darah secara berterusan.

2.    Hari Penderma Darah Sedunia atau World Blood Donor Day disambut pada 14 Jun setiap tahun di seluruh dunia bersempena hari kelahiran pakar biologi Karl Landsteiner yang juga merupakan seorang pakar perubatan dan pakar immunologi. Beliau telah berhasil menemukan pelbagai jenis kumpulan darah, terutama sekali kumpulan ABO pada tahun 1900. Disebabkan penemuan bersejarah beliau, darah-darah yang didermakan dapat diketahui jenisnya sebelum digunakan ke atas pesakit dan pemindahan darah yang selamat dapat dijalankan hari ini. Hari Penderma Darah Sedunia ini dikhususkan bagi mengucapkan terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada semua penderma darah yang secara sukarela menderma tanpa mengharapkan sebarang imbalan daripadanya. Di samping itu, sambutan Hari Penderma Darah Sedunia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keperluan  dan kepentingan pendermaan darah yang berterusan bagi menjamin bekalan darah dan produk-produk darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti bagi kegunaan pesakit-pesakit yang memerlukannya.

3.    Tema kempen Hari Penderma Darah Sedunia tahun ini iaitu "Darah Selamat Menyelamatkan Nyawa" dan berslogankan "Derma Darah dan Jadikan Dunia ini Tempat yang Lebih Sihat" memfokuskan kepada pendermaan darah yang boleh meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan orang lain di dalam sesebuah masyarakat. Pendermaan darah diperlukan di seluruh dunia bagi memastikan individu-individu dan masyarakat mendapat akses kepada darah dan produk darah yang selamat dan berkualiti. Melalui kempen kesedaran ini, orang ramai di serata tempat adalah diseru untuk menjadi penyelamat dunia dengan menderma darah secara sukarela dan berterusan

4.    Tema ini juga menyeru tindakan (call-to-action) pihak Kerajaan, pihak berkuasa kesihatan negara dan perkhidmatan darah kebangsaan untuk menyediakan sumber yang mencukupi serta menyediakan sistem dan infrastruktur bagi meningkatkan kutipan darah daripada penderma darah sukarela; untuk menyediakan penjagaan penderma darah yang berkualiti; untuk menggalakkan dan melaksanakan penggunaan darah secara klinikal yang bersesuaian; dan untuk menubuhkan sistem pengawasan dan pemantauan terhadap seluruh rangkaian pemindahan darah di sesebuah negara.

5.    Alhamdulillah, aktiviti-aktiviti dan kempen pendermaan darah masih menjadi amalan yang berterusan yang jelas dapat kita saksikan di Negara Brunei Darussalam. Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan kempen-kempen bergerak pendermaan darah di kesemua daerah. Pada tahun 2019, Pusat Pendermaan Darah telah mencatat sebanyak 16,025 kutipan darah yang disumbangkan oleh 13,501 penderma darah termasuk 2,120 penderma darah baru yang berdaftar. Pada tahun 2018 pula, sejumlah 15,537 kutipan darah telah dicatit termasuk 3,234 penderma darah baru berdaftar. Alhamdulillah, peningkatan sebanyak 3% (488 unit darah) dalam kutipan darah telah dapat dilihat pada tahun 2019 berbanding kutipan darah pada tahun 2018; dan Alhamdulillah juga kita masih dapat mencapai matlamat yang disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pencapaian tahunan jumlah penderma darah dalam lingkungan 1-3% dari jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan. Pencapaian peratus di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2019 ialah sebanyak 3.55 peratus dan perangkaan ini adalah konsisten dengan pencapaian dari tahun 2014. 

6.    Dalam memastikan pencapaian ini sentiasa berterusan, Pusat Pendermaan Darah akan sentiasa aktif mempelawa dan menggalakkan pengelolaan kempen-kempen pendermaan darah secara sukarela bagi memperkasa dan memperluaskan lagi aktiviti sepertinya semata-mata untuk menarik lebih ramai lagi penderma darah, sama ada yang sedia ada atau yang belum pernah menyumbangkan darah. Di samping itu, Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Tabung-Tabung Darah di semua Hospital Daerah juga akan terus berusaha untuk menyediakan akses kepada darah dan produk darah yang selamat untuk pesakit dalam kuantiti yang mencukupi kerana ini adalah salah satu komponen yang penting dalam memastikan keberkesanan sistem kesihatan di Negara ini. Walaupun dunia pada masa ini berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19 dan orang ramai disarankan untuk mengamalkan penjarakan sosial serta mengelakkan perkumpulan ramai, Pusat Pendermaan Darah di Kementerian Kesihatan masih saja memainkan peranan yang penting dan aktif dalam mempromosikan aktiviti-aktiviti dan kempen pendermaan darah dengan mengamalkan saranan-saranan Kementerian ini.

7.    Dengan yang demikian, Kementerian Kesihatan menyeru supaya penderma-penderma darah dan orang ramai yang berpotensi untuk mendermakan darah agar tampil ke Pusat Pendermaan Darah bagi menjalankan aktiviti berkebajikan ini. Di samping itu, agensi-agensi Kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) adalah juga diseru untuk sama-sama mengelolakan kempen-kempen pendermaan darah demi membantu meningkatkan stok bekalan darah di Negara ini.

8.    Dengan berpandukan kepada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebahagian pesakit-pesakit yang mengalami gejala penyakit-penyakit tidak berjangkit adalah dibolehkan untuk menderma darah tertakluk kepada kondisi semasa pesakit berkenaan. Antara jenis pesakit penyakit-penyakit tidak berjangkit yang dibenarkan untuk menderma darah adalah seperti pesakit diabetik yang mempunyai paras gula yang stabil dan normal serta tidak mengambil sebarang ubat insulin, pesakit darah tinggi yang mempunyai tekanan darah yang normal dan mengambil satu jenis ubat sahaja, pesakit gaut, pesakit buah pinggang yang telah sembuh sepenuhnya, pesakit yang mempunyai masalah thyroid sekiranya gangguan thyroid adalah tidak memudaratkan, dan pesakit kekurangan zat besi, B12 dan folate yang bukan disebabkan oleh pendermaan darah dan telah sembuh sepenuhnya serta mempunyai tahap hemoglobin tidak kurang dari 12.5g/dL. Namun yang demikian, kebenaran untuk menderma darah adalah juga tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan atau pegawai pemeriksa yang bertugas.

9.    Sementara itu, dalam mengawal dan memastikan tidak ada jangkitan kuman terjadi semasa proses pemindahan darah (transfusion transmissible infections - TTIs), Pusat Pendermaan Darah di negara ini, sepertimana juga yang telah di buat di negara-negara lain, sedang giat merancang dan mengungkayahkan beberapa langkah-langkah sistematik bertujuan untuk memperbaiki kualiti dan keselamatan darah. Ini termasuk memastikan bekalan darah yang selamat dengan melaksanakan Ujian Asid Nukleik (Nucleic Acid Test) bagi mengesan jenis asid nukleik khusus bagi virus HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C; mengurangkan reaksi terhadap pemindahan darah dengan penggunaan beg darah yang mampu menapis sel-sel darah putih (juga dikenali sebagai Leucocyte Depleted Packed Cells); dan memperkukuhkan lagi pendermaan darah yang selamat dengan berpandukan Buku Panduan Derma Darah yang diiktiraf dan terkini. Tindakan-tindakan ini adalah untuk membina asas yang kukuh dalam memastikan bekalan darah yang selamat dan berkualiti bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan pemindahan darah.

10. Dalam kesempatan ini, saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan ingin meraikan dan merakamkan jutaan terima kasih kepada setiap penderma darah di Negara Brunei Darussalam yang telah banyak berjasa meluangkan masa untuk menderma secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan demi membantu pesakit-pesakit yang amat memerlukannya. Ini termasuk generasi wira muda yang berani tampil serta mula menderma darah seawal usia 17 tahun di Negara ini. Tidak lupa juga diucapkan berbanyak terima kasih kepada agensi-agensi Kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu perseorangan yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan kempen-kempen derma darah selama ini. Bagi setiap unit darah yang didermakan ianya Insya Allah akan dapat menyelamatkan 3 nyawa pesakit. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala membalas budi baik semua serta melimpahkan rahmatnya kepada mereka yang membantu sesama insan. Sehubungan dengan ini, saya juga ingin menyeru dan menggalakkan mereka yang belum pernah menderma darah untuk mula tampil demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

11. Justeru itu, sempena Hari Penderma Darah Sedunia marilah kita bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dalam langkah memastikan bekalan darah adalah mencukupi dan selamat, melalui aktiviti-aktiviti pendermaan darah secara sukarela yang berterusan tanpa mengharapkan sebarang imbalan. Hanya dengan ini, akses kepada bekalan darah yang mencukupi akan dapat terus dinikmati oleh pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah yang selamat dan tepat pada masanya.  Untuk mengetahui maklumat-maklumat lanjut dan terkini mengenai aktiviti-aktiviti Pusat Pendermaan Darah, orang ramai bolehlah mengikuti Facebook bloodbankripas.brunei atau Instagram/Twitter @bloodbank_ripas. Bagi mendapatkan slot perjanjian menderma darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.linktr.ee/bdcripas atau menghubungi Pusat ini di talian 2242424 sambungan 5745 / 6001 atau 7375745 (Hotline).

12. Dengan itu diucapkan Selamat Hari Penderma Darah Sedunia 2020 dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1441H.

- T A M A T -

Attachments