Sign In

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN HARI KESELAMATAN PESAKIT SEDUNIA

17  SEPTEMBER 2020

 

TEMA:

'Keselamatan Pekerja Kesihatan: Keutamaan untuk Keselamatan Pesakit'

(Health Worker Safety: A Priority for Patient Safety)

 

 

  1. Pada tahun ini, Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam meraikan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia (World Patient Safety Day) pada 17 September 2020. Hari Keselamatan Pesakit Sedunia telah dirasmikan semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-72 (72nd World Health Assembly) pada bulan Mei 2019 dengan deklarasi resolusi bagi 'Tindakan Global Kepada Keselamatan Pesakit' ('Global Action On Patient Safety'), dan telah mengisytiharkan 17 September setiap tahun sebagai "Hari Keselamatan Pesakit Sedunia".

     
  2. Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia adalah bertujuan untuk meningkatkan pemahaman global mengenai keselamatan pesakit serta penglibatan orang ramai dalam keselamatan penjagaan kesihatan. Ianya juga bertujuan untuk mempromosikan tindakan-tindakan diperingkat antarabangsa dalam mempertingkatkan lagi keselamatan pesakit dan mengurangkan bahaya terhadap pesakit. Keselamatan pesakit adalah berdasarkan pada prinsip – "First, do no harm".

     
  3. Pada tahun ini, penekanan kepada keselamatan penjagaan kesihatan adalah amat diperlukan dalam menghadapi cabaran dan ancaman dari wabak COVID-19. Walau bagaimanapun, konsep keselamatan mesti dilihat dari perspektif yang lebih luas. Risiko yang berkaitan dengan bekerja di bidang kesihatan sememangnya diketahui oleh mereka yang bekerja di industri ini. Pekerja kesihatan mengetahui tentang risiko pendedahan terhadap penyakit dan juga risiko menyebarkan penyakit tersebut kepada ahli keluarga dan orang yang mereka sayangi. Mereka juga memahami tentang tekanan dan kesannya terhadap kehidupan peribadi mereka, serta tekanan apabila menghadapi pesakit yang berkemungkinan berasa cemas dan ahli keluarga pesakit yang melalui tekanan disebabkan oleh situasi yang mereka hadapi, malahan juga perasaan yang diharungi oleh pekerja kesihatan apabila mereka tidak dapat melindungi dan menyelamatkan pesakit mereka.

     
  4. Pandemik wabak COVID-19 ini telah menunjukkan bagaimana pekerja kesihatan terdedah kepada risiko-risiko ini dan kepentingan sistem penjagaan kesihatan dalam mengekalkan fungsi keseluruhan negara, terutama sekali melalui ungkapan, "I Stay at Work for You, You Stay at Home for Us". Pandemik ini juga memberikan tekanan yang ketara terhadap sistem kesihatan di seluruh dunia. Sistem kesihatan hanya dapat berfungsi dengan baik, dengan adanya pekerja kesihatan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bermotivasi untuk memberikan perkhidmatan yang selamat kepada pesakit.

     
  5. Tema sambutan pada tahun ini, 'Keselamatan Pekerja Kesihatan: Keutamaan untuk Keselamatan Pesakit' (Health Worker Safety: A Priority for Patient Safety), adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan pekerja kesihatan dan kaitannya dengan keselamatan pesakit, serta penglibatan pihak berkepentingan dan pelaksanaan multimodal strategies untuk meningkatkan keselamatan pekerja kesihatan dan pesakit. Ianya juga bertujuan untuk melaksanakan tindakan berterusan oleh kesemua pihak berkepentingan yang mengetahui tentang kepentingan pelaburan bagi keselamatan pekerja kesihatan sebagai salah satu keutamaan bagi memastikan keselamatan pesakit. Di samping itu untuk memberikan pengiktirafan yang sewajarnya terhadap dedikasi dan kerja keras yang dilaksanakan oleh pekerja kesihatan, terutama sekali semasa menghadapi wabak COVID-19.

     
  6. Kementerian Kesihatan menyahut seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia "Speak up for health worker safety!"  untuk bertindak terhadap memastikan keselamatan pekerja kesihatan dengan memberikan penekanan kepada Budaya Keselamatan (Safety Culture) melalui penubuhan Sistem Melapor (Event Reporting System), sebagai salah satu inisiatif dalam strategi keselamatan dan kualiti pesakit secara keseluruhan. Sistem melapor secara dalam talian ini telah dilaksanakan sejak Februari 2019, di bawah pengurusan Pejabat Kualiti, Urustadbir dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dengan sokongan dari Unit Keselamatan Pesakit  di fasiliti-fasiliti Kesihatan, di bawah Jawatankuasa Kebangsaan Kualiti dan Keselamatan Pesakit (National Committee on Quality and Patient Safety).  Melaporkan sebarang kejadian adalah secara sukarela dan dapat diakses oleh semua pekerja kesihatan. Tujuan bagi penggunaan sistem pelaporan ini adalah untuk menyediakan kaedah dan platform yang mudah, cepat dan selamat bagi kakitangan yang ingin melaporkan sebarang insiden dan isu-isu berkaitan dengan etika dalam pekerjaan bagi penambahbaikan perkhidmatan dan rekod bagi tindakan-tindakan yang telah diambil. Setakat ini, sistem ini telah menerima hampir 4,000 laporan dari fasiliti-fasiliti kesihatan di seluruh negara. Statistik yang diperolehi dari sistem berkenaan telah menunjukkan beberapa kekurangan dari aspek keselamatan pesakit dan kakitangan yang mana antaranya adalah disebabkan oleh kekurangan kakitangan, sumber yang tidak mencukupi dari segi peralatan perlindungan, tidak atau kurang mematuhi dasar dan standard operating procedures, persekitaran kerja yang tidak selamat dan lain-lain. Malah, yang turut membimbangkan juga adalah statistik laporan insiden keganasan terhadap kakitangan pekerja kesihatan yang tinggi. Ini adalah satu perkara dan realiti yang sangat mendukacitakan di mana kakitangan kesihatan terpaksa mengharungi insiden keganasan terhadap mereka semasa memberikan rawatan dan penjagaan terhadap pesakit-pesakit. Oleh itu, sudah tiba masanya pekerja kesihatan diberikan penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya dari semua pihak.

     
  7. Antara salah satu inisiatif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk memastikan keselamatan dalam penjagaan kesihatan adalah dengan melaksanakan dasar International Patient Safety Goals (IPSG) yang diterajui oleh Jawatankuasa Kebangsaan Kualiti dan Keselamatan Pesakit (National Committee on Quality and Patient Safety).  Tujuan matlamat (goals) yang digariskan di bawah International Patient Safety Goals (IPSG) ini memberikan tumpuan kepada isu-isu yang sering dihadapi oleh fasiliti-fasiliti kesihatan di seluruh dunia. Secara keseluruhan, terdapat enam (6) matlamat yang digariskan iaitu Dasar Mengenal Pasti Pesakit (Correct Patient Identification), Komunikasi Berkesan (Effective Communication), Management of High Alert Medication, Pembedahan yang Selamat (Safe Surgery), Kebersihan Tangan (Hand Hygiene) dan Falls Prevention. Penggubalan dasar dan matlamat ini adalah usaha yang penting dan memerlukan kerjasama serta persetujuan dari kesemua pihak yang berkepentingan, terutama sekali dari segi proses, latihan, pelaksanaan dan pemantauan.

     
  8. Alhamdulillah, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan tiga (3) daripada enam (6) Matlamat dan dasar berkenaan dan selebihnya masih dalam proses penggubalan. Orang ramai adalah diseru untuk memberikan kerjasama dalam mematuhi dasar-dasar keselamatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Malahan, mereka juga boleh membantu untuk mengingatkan dan memastikan pekerja kesihatan mengamalkan dasar-dasar tersebut kerana ianya adalah untuk menjaga keselamatan semua pihak.

     
  9. Pandemik wabak COVID-19 telah mengetengahkan cabaran besar yang dihadapi oleh pekerja kesihatan di seluruh dunia termasuk di Negara Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, industri kesihatan terus tabah menghadapi cabaran tersebut dan sentiasa menjalankan peranan untuk  memastikan kualiti perkhidmatan dan keselamatan semua sentiasa terjaga. Marilah kita semua bergerak bersama ke hadapan untuk memastikan keselamatan pesakit dan pekerja kesihatan sentiasa dilindungi.

     
  10. Akhirnya, dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pekerja kesihatan atas pengorbanan, komitmen dan dedikasi mereka terhadap profesion yang mulia ini. Kementerian Kesihatan sangat mengharapkan sokongan padu yang berterusan dan kerjasama dari kesemua pihak untuk sama-sama memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja kesihatan di Negara Brunei Darussalam.

    -TAMAT-


Attachments