Sign In

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN BULAN ALZHEIMER'S SEDUNIA

21 SEPTEMBER 2020

 

TEMA:

'Lakastah becakap pasal Dimensia'

(Let's talk about Dementia')

 

 

1.     Dimensia merupakan kumpulan penyakit berkaitan otak yang boleh menjejaskan ingatan, pemikiran, tingkah laku dan perasaan. Bagi pesakit yang menghidapi penyakit dimensia, 90% daripadanya adalah dimensia jenis Alzheimer's dan vascular dementia. Tanda-tanda dan simptom dimensia termasuk hilang ingatan, kesukaran untuk bertutur dengan betul atau memahami pertuturan orang lain, kesukaran untuk melakukan kerja harian dan perubahan terhadap keperibadian dan perasaan. Setakat ini, tidak ada ubat khusus untuk penyakit dimensia, akan tetapi rawatan, nasihat dan sokongan ada disediakan kepada pesakit dan ahli keluarga atau penjaga.

 

2.     Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan untuk menyambut Bulan Alzheimer's Sedunia yang disambut pada bulan September dan Hari Alzheimer's Sedunia pada 21 September. Tema tahun ini 'Lakastah becakap pasal Dimensia' bertujuan untuk menggalakkan orang ramai untuk memahami kepentingan mengenali dimensia sebagai salah satu penyakit dan mengatasi stigma berkaitan dimensia. Menurut Alzheimer's Disease International, dianggarkan setiap tiga saat seseorang di dunia akan menghidap penyakit dimensia. Jumlah ini akan mencecah sehingga 152 juta orang menjelang tahun 2050. Selain itu, dua daripada tiga orang di seluruh dunia percaya bahawa terdapat sedikit atau tidak ada pemahaman tentang dimensia di negara mereka. Ini menjadikan dimensia diiktiraf secara meluas sebagai salah satu krisis kesihatan yang paling ketara pada abad ke-21 ini.

 

3.     Di Negara Brunei Darussalam, dianggarkan sejumlah 1,200 orang menghidap penyakit Alzheimer's dan seramai 2,000 orang menghidap dimensia yang mana kebanyakkannya belum dikenalpasti. Menurut kajian yang dijalankan oleh Unit Geriatrik dan Paliatif, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada tahun 2015, seramai 36.8% pesakit geriatrik mengalami dimensia dan tambahan seramai 20% pesakit geriatrik mungkin mengalami gangguan kognitif yang mana memerlukan penilaian lebih lanjut sebelum diberikan diagnosis. Peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit yang tinggi di Negara Brunei Darussalam juga menyebabkan peningkatan kadar pesakit vascular dementia.

 

4.     Dimensia boleh menyebabkan fungsi otak menjadi semakin teruk dan mengakibatkan kesukaran untuk melakukan aktiviti harian. Dimensia pada kebiasaannya dikaitkan dengan penyakit warga emas, akan tetapi dimensia merupakan sejenis penyakit yang bukan biasa bagi warga emas. Dimensia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira usia. Simptom-simptom bagi penyakit Dimensia adalah seperti kehilangan ingatan, masalah pertuturan, kesukaran apabila meletakkan barangan, fikiran becelaru, perubahan perasaan dan keperibadian atau menarik diri daripada aktiviti sosial. Seseorang yang mempunyai tanda dan simptom dimensia perlu diperiksa oleh profesional kesihatan untuk rawatan dan pengurusan penyakit dimensia. Risiko menghidap penyakit dimensia meningkat jika seseorang itu tidak mengamalkan cara hidup sihat sejak di awal usia. Akan tetapi, risiko dimensia boleh dikurangkan melalui amalan pemakanan sihat, melakukan kegiatan fizikal secara tetap sekurang-kurangnya 30 minit, lima kali seminggu dan berhenti merokok. Bagi warga emas, rangsangan mental dan interaksi sosial juga perlu dikekalkan.

 

5.     Kesan penyakit dimensia bukan hanya kepada pesakit, malah kepada keluarga atau penjaga, serta masyarakat secara keseluruhan. Keluarga dan masyarakat memainkan peranan yang penting kerana pesakit dimensia akan sentiasa memerlukan bantuan dalam melakukan aktiviti harian mereka dan ianya merupakan cabaran yang amat besar kepada kesemua pihak. Tambahan lagi, tahun ini merupakan tahun yang amat mencabar bagi semua, khususnya pesakit dimensia dengan berlakunya penularan wabak COVID-19. Penjarakan sosial yang disarankan adalah perlu untuk mencegah penularan virus SARS COV-2. Akan tetapi, ianya menambah kesulitan bagi yang mengalami kesunyian, kemurungan serta pengasingan sosial dan memburukkan lagi simptom dimensia. Oleh itu, keluarga dan masyarakat perlu bersabar dan lebih prihatin semasa tempoh 'norma baru' ini.

 

6.     Selaras dengan tema Sambutan Bulan Alzheimer's Sedunia 2020 tahun ini, saya ingin mengutarakan beberapa mesej utama dan menyeru semua termasuk ahli keluarga, komuniti dan masyarakat untuk:

 

                                i.            Sentiasa berbual mengenai dimensia. Berbincang antara satu sama lain mengenai cara mengekalkan kesihatan yang baik dan mengurangkan risiko dimensia adalah amat penting. Berbual mengenai simptom dimensia agar kita mengetahui tanda-tanda yang perlu diperhatikan dan boleh mendapatkan rawatan lebih awal. Sentiasa peka sesama sendiri dalam memastikan keadaan masing-masing.

 

                             ii.            Atasi stigma berkenaan dimensia. Kita perlu mengatasi stigma dan ketakutan terhadap dimensia. Kurang pengetahuan mengenai dimensia menyebabkan anggapan yang tidak tepat mengenai kesan dimensia kepada pesakit dan ahli keluarga serta tanggapan negatif berkaitan tingkah laku pesakit dimensia. Oleh itu, berbicara mengenai dimensia dapat membawa kearah pemahaman dan perancangan yang lebih baik, memperbaiki sokongan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit dimensia dan keluarga atau penjaga.

 

                           iii.            Kesediaan semasa pandemik. Penularan wabak COVID-19 telah mengenalpasti kekurangan dalam penyediaan perkhidmatan dan sokongan harian terhadap pesakit dimensia. Ianya adalah amat penting bagi pesakit dimensia untuk tidak dikecualikan secara sosial semasa penularan wabak ini. Oleh itu, keperluan bagi memahami serta mendapatkan maklumat yang tepat, nasihat dan sokongan mengenai dimensia adalah penting di waktu sukar ini.

 

7.     Kementerian Kesihatan akan sentiasa menyediakan sistem kesihatan yang mudah diakses dan saksama serta berkualiti tinggi kepada seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam dalam memastikan semua orang akan memanfaatkan perkhidmatan yang diberikan. Kementerian Kesihatan akan memastikan program kesedaran dan intervensi berkaitan dimensia akan terus dilaksanakan di pelbagai tempat seperti di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dengan kerjasama Dimensia Brunei, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dedikasi terhadap dimensia.

 

8.     Akhir kata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa memastikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di pelbagai peringkat usia akan mendapat akses kepada kesihatan yang baik selaras dengan Wawasan Brunei 2035, iaitu dalam mencapai kualiti kehidupan yang tinggi. Kita perlu berganding bahu bersama-sama dalam menangani stigma berkaitan dimensia. Tidak pernah lambat untuk bertindak dan bersama kita boleh membuat perubahan.

-TAMAT-


Attachments