Sign In


PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA

10 OKTOBER 2020

 

TEMA:

'Kesihatan mental untuk semua. Tingkatkan Pelaburan – Tingkatkan Akses (Untuk Semua, Di Mana Saja.) '

(Mental Health For All. Greater Investment - Greater Access)

 

1.     Hari Kesihatan Mental Sedunia (World Mental Health Day) diraikan di seluruh dunia pada 10 Oktober setiap tahun. Sambutan ini adalah inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu berkaitan dengan kesihatan mental.

 

2.     Tema pada tahun ini adalah 'Kesihatan mental untuk semua. Tingkatkan Pelaburan, Tingkatkan Akses'. Pandemik COVID-19 telah menjadi tajuk utama di seluruh dunia tahun ini. Walaupun pandemik ini telah memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan menjangkiti berjuta-juta individu di seluruh dunia, namun terdapat impak yang lebih luas terhadap kesihatan mental kerana ada peningkatan pada tahap kegelisahan, kebimbangan, kemurungan dan pengasingan sosial.

 

3.     Alhamdulillah, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah secara konsisten membuat pelaburan bagi menyediakan liputan kesihatan sejagat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi rakyat dan penduduk di negara ini. Ini termasuk liputan kesihatan mental sejagat dalam bentuk pelbagai sumber termasuk profesional kesihatan yang bekerjasama. Rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam mempunyai akses mudah bagi perkhidmatan kesihatan mental di seluruh negara, termasuk melalui Talian Harapan 145, klinik psikologi secara 'walk-in' di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan di pusat-pusat kesihatan yang terdapat di seluruh negara. Dalam keadaan kecemasan, Jabatan Kecemasan di keempat-empat hospital di setiap daerah juga merupakan salah satu pusat untuk menerima bantuan bagi penjagaan kesihatan mental. Mereka yang memerlukan penjagaan yang lebih khusus, boleh mendapatkan bantuan dengan merujuk kepada pakar kesihatan mental termasuk doktor psikiatri, jururawat, psikologis, pegawai kebajikan perubatan dan jurupulih cara kerja yang bertugas di hospital, pusat kesihatan dan di komuniti.

 

4.     Terdapat pelaburan yang signifikan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam pengembangan perkhidmatan pakar kesihatan mental yang kini merangkumi perkhidmatan psikiatri bagi pesakit yang ditahan di hospital dan klinik pesakit luar, perkhidmatan psikologi, perkhidmatan  psikiatri bagi kanak-kanak dan remaja, perkhidmatan psikiatri bagi warga emas, perkhidmatan psikiatri bagi masyarakat termasuk lawatan ke rumah dan klinik komuniti, perkhidmatan psikiatri untuk pesakit di wad hospital umum, perkhidmatan klinik forensik bagi penjara dan pusat pemulihan psikiatri.

 

5.     Sistem rekod kesihatan elektronik iaitu sistem BruHIMS yang digunakan di setiap klinik dan hospital kerajaan telah mendaftar lebih daripada 3 ribu kes penyakit "mood disorder" seperti kemurungan dan "bipolar disorder" diantara penduduk di negara ini. Tambahan lagi, hampir 4 ribu kes penyakit psikotik seperti skizofrenia telah didaftar. Pada tahun 2020, Talian Harapan 145 telah menerima lebih dari 200 panggilan sebulan dari orang ramai. Perkhidmatan Pskiatri di Hospital RIPAS telah mendaftar sehingga 40 kes baharu bagi pesakit dewasa setiap bulan dan menjumpai sekitar 600 kes susulan setiap bulan. Manakala Perkhidmatan Psikiatri bagi kanak-kanak dan remaja telah mendaftar hampir 100 kes baru dari bulan Januari ke bulan September tahun ini dan menjumpai lebih dari 600 kes susulan dalam masa yang sama. Perkhidmatan Psikologi pula menjumpai diantara 400 dan 600 kes setiap bulan. Statistik ini menunjukkan tahap tinggi bagi penggunaan perkhidmatan kesihatan mental di kalangan masyarakat di negara ini.

 

6.     Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah meningkatkan kesedaran bagi kesihatan mental dan menangani stigma yang menjadi penghalang utama untuk mendapatkan bantuan. Walaupun Negara Brunei Darussalam mempunyai perkhidmatan kesihatan mental yang mudah di akses oleh masyarakat, namun rasa malu dan takut mereka akan di-diskriminasi sering menghalang individu-individu daripada memohon bantuan yang diperlukan. Perkhidmatan Psikologi dan Psikiatri, dengan kerjasama dari Pusat Promosi Kesihatan telah mengadakan kempen-kempen dan acara-acara di dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk acara ceramah, forum dan pameran kesihatan mental yang sering dianjurkan. Sempena meraikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama rakan-rakan dari sektor swasta dan sumbangan dari masyarakat akan mengadakan beberapa acara seperti pameran kesedaran kesihatan mental, forum  Kesihatan Mental, Mental Health Awareness Virtual Run 2020 : 10/30/50 km Run, Walk, Hike or Cycle Challenge yang dianjurkan oleh Lembaga Pelawat Perkhidmatan Psikiatri dan Perkhidmatan Psikiatri di Hospital RIPAS dan pembukaan Pusat Pemulihan Psikiatri harian baru yang telah di sumbangkan oleh Lembaga Pelawat Perkhidmatan Psikiatri di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

 

7.     Orang ramai adalah digalakkan untuk mengambil peluang ini untuk ikut serta dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dan untuk memberikan sokongan bagi kesedaran kesihatan mental. Dengan meningkatkan perbincangan di kalangan masyarakat tentang kesihatan mental, insya Allah ianya akan dapat mengukuhkan lagi kesedaran dan sokongan sepadu terhadap kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam. Ini adalah kerana kesihatan mental bukanlah hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan untuk menanganinya, tetapi tanggungjawab bersama. Semua lapisan masyarakat perlu mengambil berat terhadap kesihatan mental kerana ianya mempengaruhi banyak aspek kehidupan kita. Maka kesemua individu perlu menjaga kesihatan mental kita sendiri. Ianya sangat menggalakkan apabila masyarakat menunjukkan minat untuk berbincang tentang kesihatan mental dan mempunyai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam. Saya harap komitmen dan minat ini akan terus berkembang untuk sama-sama menangani isu-isu berkaitan dengan kesihatan mental di negara ini.

 

8.     Salah satu pelaburan yang terbaik bagi kesihatan mental adalah dengan meningkatkan pemahaman dan kesedaran tentang kesihatan mental. Pemahaman yang lebih baik mengenai isu dan penyakit kesihatan mental akan menjana budaya memberi sokongan dan empati yang lebih positif, penglibatan dan kolaborasi yang lebih baik dengan sumber kesihatan mental yang telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan. Penyertaan orang ramai dalam acara dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan adalah salah satu cara untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental. Saya mengalakkan kesemua lapisan masyarakat untuk menyokong inisiatif ini.

 

9.     Orang ramai juga boleh memainkan peranan masing-masing dalam membuat pelaburan dalam kesihatan mental dengan menjadi teman, ahli keluarga atau anggota masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan dan bimbingan bagi mereka yang memerlukannya. Dalam masa yang tidak menentu ini yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, abiskita boleh memberikan sokongan kepada rakan dan ahli keluarga dengan bertanyakan bagaimana keadaan mereka, jadilah tempat mereka meluahkan perasaan dan jadilah seorang insan yang baik. Jika perlu, berikan sokongan kepada mereka untuk mendapatkan bantuan atau maklumat yang bersesuaian dari sumber yang mudah diakses seperti Talian Harapan 145 atau pusat kesihatan dan perkhidmatan kesihatan mental yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan. Abiskita juga boleh menemani mereka semasa perjanjian klinik dan memberikan sokongan apabila mereka ingin mendapatkan rawatan.

 

10.            Akhir kata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa memastikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di pelbagai peringkat usia akan mendapat akses kepada kemudahan kesihatan, termasuk kesihatan mental, dan kita perlu berganding bahu bersama-sama menangani stigma berkaitan dengan kesihatan mental.

-TAMAT-

Attachments