Sign In

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN HARI STROK SEDUNIA

29  OKTOBER 2020

 

TEMA:

'DON'T BE THE ONE'


1.     Strok ataupun lebih dikenali sebagai Angin Ahmar terjadi apabila aliran darah ke otak terjejas sama ada disebabkan oleh darah beku atau saluran darah di bahagian otak pecah yang boleh menyebabkan pendarahan di dalam otak. Strok juga boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Namun demikian, risiko mengalami strok boleh dikurangkan jika kita mengambil langkah-langkah pengurangannya.
 

2.     Diantara tindakan global dalam usaha untuk mencegah strok, seluruh negara termasuk Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan untuk menyambut Hari Strok Sedunia pada setiap 29 Oktober. Kempen kesedaran ini disambut setiap tahun dengan tema yang berbeza-beza dan pada tahun 2019/2020, tema Hari Strok Sedunia ialah #Don'tBeTheOne yang mempunyai objektif  tertumpu kepada pengurangan risiko strok.
 

3.     Di Negara Brunei Darussalam, penyakit strok adalah punca kematian yang ke-4 tertinggi yang mana secara purata pesakit strok adalah dikalangan mereka yang berumur di antara 55 dan 60 tahun. Manakala 17% daripada penghidap strok adalah dikalangan mereka yang berumur masih muda iaitu di bawah umur 45 tahun. Daripada semua pesakit strok, 20-25% adalah jenis strok haemorrhagic iaitu disebabkan pendarahan aliran darah, manakala selebihnya adalah jenis strok infarct iaitu disebabkan oleh darah beku. Kematian akibat strok juga menunjukkan peningkatan iaitu 162 kematian pada tahun 2019 berbanding 103 kematian pada tahun 2014.


4.     Sepertimana juga yang terjadi di seluruh dunia, strok adalah penyebab utama kekurangan upaya di kalangan penduduk di negara ini. Apa yang lebih membimbangkan, menurut kajian daripada Pertubuhan Strok Sedunia yang dibuat baru-baru ini, satu dalam empat orang akan mengalami strok dalam jangka hayat mereka. Perkara ini harus diberikan perhatian. Orang ramai harus memberikan komitment yang tinggi dan meningkatkan kesedaran untuk membuat perubahan.


5.     Adapun faktor-faktor risiko menghidap strok seperti tekanan darah tinggi (hypertension), kolesterol tinggi, kencing manis, penyakit buah pinggang kronik, obesiti dan merokok boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan juga boleh dikawal melalui rawatan-rawatan yang berkesan.


6.     Justeru itu, bagi seseorang individu, mengamalkan cara hidup yang sihat adalah amat penting termasuklah dalam pengambilan makanan yang sihat dan seimbang serta aktif melakukan aktiviti fizikal secara tetap. Menurut Pertubuhan Strok Sedunia, dianggarkan 1 juta kes strok yang terjadi setiap tahun dikaitkan dengan kekurangan dalam membuat aktiviti fizikal. Oleh yang demikian, dalam melakukan dan meningkatkan aktiviti fizikal dikalangan masyarakat, Pertubuhan Strok Sedunia pada tahun ini menggesa orang ramai untuk ikut serta dalam #jointhemovement. Ini boleh dicapai dengan menerapkan aktiviti fizikal dalam rutin seharian seperti berjalan kaki, menaiki tangga, berkebun dan melakukan kerja rumah.


7.     Disamping itu, dengan hanya melakukan 30 minit senaman sebanyak lima kali seminggu (2½ jam seminggu) boleh mengurangkan risiko seseorang untuk mengalami strok sebanyak 25%.  Senaman berintensiti sederhana dan berat boleh dibahagikan mengikut kebolehan sendiri dan sekiranya sukar untuk bersenam selama 30 minit dalam satu sesi, adalah disarankan untuk memecahnya menjadi 10 minit atau lebih pada satu sesi.
 

8.     Dari segi tindakan masyarakat pula, satu Garis Pandu Aktiviti Fizikal bagi Negara Brunei Darussalam telah dibuat yang mana ianya menekankan kepada population-based approaches dalam membantu meningkatkan tahap aktiviti fizikal di kalangan masyarakat. Dalam hal ini, kerjasama dari semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong masyarakat untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal.


9.     Selain itu, saya juga ingin menggesa supaya orang ramai mengetahui akan tanda-tanda strok dan mendapatkan rawatan dengan segera apabila mengalami tanda-tanda strok. Bagi menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kesan strok, adalah penting bagi semua untuk mengenali tanda-tanda strok dengan PANTAS (atau BE FAST):

  • PERGERAKKAN: Tiba-tiba hilang keseimbangan atau koordinasi badan. (BALANCE: Sudden loss of balance or coordination)
  • ADA KESULITAN MELIHAT: Perubahan penglihatan secara tiba-tiba, seperti penglihatan berganda atau kurang penglihatan pada sebelah mata. (EYE : Double vision or loss of vision in one eye)
  • NAMPAK WAJAH MENJEBEK: Menjebek atau rasa kebas pada sebelah muka yang menyebabkan senyuman tidak seimbang. (FACE: Face drooping or weakness on one side)
  • TANGAN KEBAS: Kelemahan pada satu tangan, dan seperti tidak dapat mengangkat kedua-dua tangan. (ARM: Sudden weakness of an arm, and as if having difficulty to raise both arms)
  • AMAT SUKAR BERCAKAP: Ucapan tidak jelas atau ucapan yang sukar untuk difahami. (SPEECH: Trouble speaking or understanding)
  • SEGERA DAPATKAN BANTUAN: Dapatkan rawatan dengan segera di Jabatan Kecemasan dengan menghubungi 991, walaupun tanda-tanda seolah-olah hilang. (TIME: Act quickly to go to the Emergency Department by calling 991, even if the signs appear to cease) 


10.   Dikesempatan ini, saya ingin memberikan penghormatan kepada semua survivor penyakit strok yang telah banyak berjuang untuk menghadapi komplikasi strok dan cabaran-cabaran lain termasuk termasuk fizikal, emosi dan kewangan. Tidak dilupakan juga kepada penjaga mereka yang turut sama-sama berjuang dan tidak putus-putus memberikan sokongan kepada mereka sebagai komitmen untuk mempertingkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka.

 

11.   Akhirnya, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan, Unit NCD, Penjagaan Kesihatan Asas dan Perkhidmatan Hospital bersama Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre (BNSRC) dan pihak-pihak berkepentingan yang lain akan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan terus berusaha dalam mengurangkan kematian akibat strok melalui peningkatan kesedaran dan pencegahan risiko serta dalam penyediaan rawatan dan pemulihan strok.

 

-TAMAT-


Attachments