Sign In


PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN HARI DIABETES SEDUNIA

14 NOVEMBER 2020

 

TEMA:

'Diabetis: Jururawat Boleh Membuat Perubahan'

(Diabetes: Nurses Make the Difference)

 

1.     Jumlah pesakit yang menghidap penyakit diabetis semakin meningkat di seluruh dunia. Menurut data yang diperolehi daripada Persekutuan Diabetis Antarabangsa (International Diabetes Federation), seramai 463 juta orang dewasa (bersamaan dengan 1 dalam 11 orang dewasa) menghidap penyakit diabetis pada tahun 2019 dan jumlah ini dijangka akan meningkat sehingga mencecah kepada 578 juta menjelang tahun 2030. Walau bagaimanapun, seorang dalam dua (2) orang dewasa iaitu kira-kira seramai 232 juta orang tidak mengetahui yang mereka menghidap penyakit diabetis. Di kalangan mereka yang menghidap diabetis pula, kebanyakannya adalah terdiri daripada mereka yang menghidapi diabetis jenis-2 iaitu diabetis mellitus.

 

2.     Penyakit diabetis sememangnya memberi impak yang besar terhadap ekonomi disebabkan oleh peningkatan beban penjagaan kesihatan dan kehilangan produktiviti. Diabetis menyebabkan kematian sebanyak 4.2 juta pada tahun 2019 dan kos rawatan penyakit diabetis mencecah sehingga $760 juta pada tahun 2019 iaitu bersamaan dengan 10% jumlah keseluruhan perbelanjaan penjagaan kesihatan di peringkat global.

3.     Kajiselidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan Negara Brunei Darussalam (NHANSS) 2009-2011 mendapati sebanyak 12.4% penduduk di negara ini menghidap penyakit diabetis mellitus. Manakala, Kajiselidik STEPS-wise Kebangsaan 2015-2016 pula mendapati sebanyak 9.7% orang dewasa berumur 18-67 tahun mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi. Penyakit diabetis merupakan penyakit tidak berjangkit yang utama di seluruh dunia, walaupun terdapat kemajuan dalam perubatan dan ianya adalah merupakan punca kematian ketiga tertinggi di Negara Brunei Darussalam.

4.     Kepentingan mengekalkan pengawalan gula yang baik adalah amat penting bagi pesakit diabetis dalam membantu mengurangkan dan mengelakkan komplikasi jangka panjang seperti masalah jantung, kegagalan buah pinggang, amputasi dan sebagainya. Pesakit diabetis termasuk penjaga dan masyarakat perlu bekerjasama dengan profesional kesihatan dalam memastikan pesakit menerima penjagaan yang holistik. Mereka perlu diberi pengetahuan mengenai pencegahan, pengurusan yang efektif dan cara-cara untuk memperolehi sumber maklumat klinikal. Pendidikan mengenai pengurusan diri berkaitan diabetis merupakan komponen asas yang sangat penting dalam pencegahan diabetis dan seharusnya mudah diakses dan diperolehi orang ramai.

5.     Sambutan Hari Diabetis Sedunia telah mula disambut sejak tahun 1991 oleh Persekutuan Diabetis Antarabangsa (International Diabetes Federation) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu respons terhadap peningkatan ancaman terhadap kesihatan oleh penyakit diabetis. Sambutan ini diraikan pada 14 November setiap tahun dan tema bagi sambutan pada tahun 2020 adalah 'Diabetis: Jururawat Boleh Membuat Perubahan' bagi mengetengahkan kepentingan peranan jururawat dalam menyokong pesakit diabetis. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa jururawat merangkumi 59% profesional kesihatan dan jumlah tenaga kerja jururawat di seluruh dunia adalah seramai 27.9 juta, yang mana 19.3 juta adalah terdiri daripada jururawat yang profesional. Di Negara Brunei Darussalam, menurut statistik dari Kementerian Kesihatan bagi tahun 2019, sejumlah 2,507 orang jururawat daripada pelbagai bidang sedang berkhidmat dengan sektor kerajaan dan swasta. Mereka menjalankan tanggungjawab yang luar biasa di pelbagai bidang kepakaran kesihatan dan perubatan dalam menyokong kehidupan masyarakat dan pada tahun ini, peranan jururawat lebih terserlah dan diketengahkan sebagai barisan hadapan semasa pandemik COVID-19.

6.     Dengan peningkatan jumlah pesakit diabetis dari setahun ke setahun, peranan jururawat dan ahli profesional kesihatan lain menjadi semakin penting dalam membantu dan mengurus impak diabetis. Jururawat merupakan di antara profesional kesihatan yang pertama dijumpai dan dipercayai serta lebih kerap berinteraksi bersama pesakit dan ahli keluarga. Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi setiap jururawat untuk memberikan perkhidmatan penilaian, penjagaan dan rawatan yang berkualiti kepada pesakit.

7.     Selaras dengan saranan Persekutuan Diabetis Antarabangsa (International Diabetes Federation) bagi pihak kerajaan dan agensi kesihatan untuk mengenalpasti kepentingan melabur di dalam pendidikan dan latihan, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan latihan pendidikan diabetis bagi para jururawat sejak akhir tahun 90-an. Latihan ini bertujuan untuk melatih jururawat yang bertauliah untuk mengambil peranan sebagai Jururawat Pendidikan Diabetis (Diabetes Nurse Educators, DNEs). Jururawat Pendidikan Diabetis (DNEs) merupakan jururawat yang dilatih khusus dalam memberikan penjagaan diabetis yang komprehensif, disamping memenuhi keperluan fizikal dan psikososial pesakit. Kementerian Kesihatan telah melantik seramai 19 orang jururawat DNEs yang sedang berkhidmat di hospital dan pusat-pusat kesihatan Kerajaan di seluruh Negara. Peranan utama jururawat DNEs adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan diabetis di kalangan pesakit diabetis dan penjaga serta menggalakkan dan memperbaiki kemampuan pesakit, kemahiran dan kompetensi mereka dalam mengurus dan mengawal penyakit diabetis di samping memberikan kaunseling individu.

8.     Untuk mempertingkatkan lagi latihan diabetis di Negara ini, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Sekolah Sains Kesihatan, Politeknik Brunei akan memulakan kursus Level 5 Diploma Sains Kesihatan bagi Jururawat Pendidikan Diabetis pada bulan Januari 2021 nanti. Kursus ini bertujuan untuk memudahcara dan menambahbaik perkembangan jururawat bertauliah dengan memberikan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sebagai jururawat pendidikan diabetis di hospital dan pusat-pusat kesihatan. Ianya juga adalah sebagai mekanism bagi jururawat DNEs untuk menunjukkan prestasi dan perkembangan profesional mereka dan sebagai pengesahan kepada diri mereka sendiri dan juga organisasi tempat kerja.  Di samping itu, kursus berkenaan juga akan mendorong komitmen jururawat terhadap amalan terbaik, piawaian dan pengetahuan terkini berkaitan dengan pendidikan diabetis.

9.     Antara program pendidikan diabetis yang telah dijalankan oleh jururawat DNEs sendiri adalah termasuk daripada itu juga, Program 3S – Sihat, Seimbang, Sayang di Pusat Kesihatan Pengkalan Batu khusus memfokuskan kepada pesakit diabetis dibawah tadahan Pusat Kesihatan Pengkalan Batu yang tidak berupaya untuk mengawal tahap gula mereka. Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan memperbaiki tahap gula kepada normal di kalangan pesakit dan seterusnya mengurangkan risiko komplikasi. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai ahli profesional kesihatan seperti doktor, DNEs dan pegawai pemakanan. Hasil dapatan program pada tahun 2016-2017 mendapati terdapat penurunan di dalam kadar gula dalam darah (HbA1c) di kalangan peserta daripada 11.3% kepada 10.5% selepas 6 bulan mengikuti program berkenaan. Pengetahuan terhadap diabetis berpandukan kepada Diabetes Knowledge Questionnaire juga telah meningkat di kalangan peserta selepas menyertai program.


10.            Bertepatan dengan tema sambutan Hari Diabetis Sedunia 2020, saya ingin menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama menghargai peranan jururawat di dalam pencegahan dan rawatan diabetis, khususnya di dalam:

  1. Mengenalpasti diabetis di peringkat awal bagi memastikan pesakit mendapat rawatan segera;
  2. Menyediakan latihan pengurusan diri dan sokongan psikososial kepada pesakit diabetis dalam membantu mencegah komplikasi; dan
  3. Mengatasi faktor risiko bagi mencegah penyakit diabetis jenis-2.


11.            Kementerian Kesihatan akan sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan demi mencapai Wawasan Brunei 2035 untuk menjamin kualiti kehidupan yang tinggi bagi penduduk Negara Brunei Darussalam dengan memastikan setiap rakyat dan penduduk akan mendapat penjagaan kesihatan yang saksama dan mudah diakses serta menyediakan sistem penjagaan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, disamping memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan penyakit-penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit diabetis dan mempromosikan kesejahteraan hidup di semua peringkat usia.

-TAMAT-

 

Attachments