Sign In


PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN HARI KANSER SEDUNIA 2021

04 Februari 2021


TEMA:

"Saya Adalah dan Saya Akan"

(I Am and I Will)

 

1.  Setiap tahun pada 4 Februari, seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Kanser Sedunia yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit kanser. Tahun ini adalah tahun ketiga dan tahun yang terakhir Hari Kanser Sedunia ini membawa tema "Saya Adalah dan Saya Akan". Objektif tema ini adalah untuk memperingatkan orang ramai tentang komitmen setiap individu untuk bersama-sama bertindak pada masa ini yang mana seterusnya akan memberikan impak yang positif di masa hadapan. Dalam masa yang sama, ianya juga dihasratkan untuk membantu setiap negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) untuk mengurangkan kematian pramatang yang berpunca daripada penyakit kanser dan penyakit-penyakit tidak berjangkit sebanyak satu pertiga menjelang tahun 2030.


2.  Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di seluruh dunia, dianggarkan 1 dalam 5 orang akan menghidap penyakit kanser disepanjang hayatnya. Manakala, 1 dalam 8 lelaki dan 1 dalam 11 perempuan akan meninggal dunia disebabkan penyakit kanser. Ini bermakna lebih daripada 50 juta orang diseluruh dunia pada 5 tahun kebelakangan ini adalah penghidap penyakit kanser. Menurut statistik terkini daripada Global Cancer Observatory (Globocan) 2020 juga, kanser payudara di kalangan perempuan, buat pertama kalinya, adalah merupakan kanser yang paling tertinggi di diagnosis dan telah mengatasi diagnosis kanser paru-paru. Walau bagaimanapun, kanser paru-paru tetap menjadi penyebab kematian utama dikalangan semua penyakit-penyakit kanser.

 

3.  Di Negara Brunei Darussalam pula, menurut statistik yang diperolehi dari Daftar Kanser Negara Brunei Darussalam, pada tahun 2019, sejumlah 704 orang (berbanding dengan 644 orang pada tahun 2018) warganegara dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalam telah dikesan menghidap penyakit kanser. Pada tahun yang sama, jumlah kematian akibat penyakit kanser adalah sejumlah 347 kematian, iaitu 22.6% daripada semua kematian pada tahun 2019. Jumlah penghidap penyakit kanser juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 22.8% dalam tempoh 5 tahun pada tahun 2015-2019 berbanding dengan tahun 2010-2014. Manakala, pada tahun 2019, antara jenis-jenis penyakit kanser yang tertinggi di kalangan lelaki adalah kolorektal (74 kes); prostat (30 kes); dan paru-paru (25 kes). Di kalangan perempuan pula, penyakit kanser yang tertinggi adalah payudara (105 kes) diikuti oleh kolorektal (57 kes) dan kanser korpus uteri atau rahim (45 kes). Sementara itu, risiko bagi seorang lelaki untuk menghidap kanser disepanjang hayatnya ialah 27% atau 1 dalam 4 lelaki, manakala risiko bagi perempuan pula ialah 29% atau 1 dalam 3 perempuan.


4.  Perkembangan penyakit kanser ini adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang kompleks termasuk faktor genetik dan faktor persekitaran. Kesan faktor-faktor tersebut adalah berbeza dari satu individu ke individu yang lain. Terdapat bukti yang dinyatakan di dalam World Cancer Report 2020 yang menunjukkan bahawa faktor genetik menyumbang kepada 5 – 10% perkembangan penyakit kanser; manakala faktor persekitaran mempunyai risiko lebih tinggi iaitu dalam lingkungan 80 - 90%. Ini menunjukkan bahawa risiko penyakit kanser bagi setiap individu sememangnya dapat dikurangkan jika beberapa faktor-faktor risiko penyakit kanser dapat ditangani seperti memberhentikan penggunaan tembakau, mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi, melakukan kegiatan fizikal, mempunyai indeks jisim badan atau Body Mass Index (BMI) yang normal dan tidak mengambil alkohol.

5.  Dalam sama-sama menyertai inisiatif global untuk menuju kearah masa depan yang bebas dari penyakit kanser, Kerajaan di Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan telah mengambil beberapa tindakan dan langkah-langkah untuk mengawal faktor-faktor risiko penyakit kanser. Antaranya termasuk perlaksanaan Brunei Darussalam Multisectoral Action Plan for Prevention and Control of Noncommunicable Diseases (BruMAP-NCD) iaitu pelan tindakan kebangsaan yang meliputi pelbagai sektor untuk mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit. Memandangkan penyakit kanser adalah penyebab utama kematian di negara ini, satu komponen penting di dalam pelan tindakan tersebut adalah mengenai pencegahan dan pengawalan penyakit kanser. Multisectoral Taskforce on Health (MSTFH) yang terdiri daripada pelbagai agensi dan kementerian juga telah berusaha dan turut menyumbang kepada keberhasilan dalam perlaksanaan pelan tindakan ini.

6. Sebagai seorang individu pula, diantara pendekatan yang dapat diusahakan adalah dengan mengubah dan mempraktifkan gaya hidup yang lebih sihat dengan mengambil tindakan seperti:

    • Berhenti merokok dan mengelakkan daripada pendedahan pada asap rokok pasif atau udara tercemar;
    • Mengambil 2-3 sajian buah-buahan dan 2-3 sajian sayur-sayuran setiap hari;
    • Melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu;
    • Mengekalkan berat badan yang sihat; dan
    • Menjalani ujian saringan kesihatan secara rutin untuk mengesan tanda-tanda awal penyakit kanser termasuk bagi penyakit kanser serviks, payudara dan kolorektal.

 

7.  Dari segi faktor-faktor risiko kanser, penggunaan tembakau masih menjadi salah satu penyebab utama bagi penyakit kanser di seluruh dunia. World Cancer Report 2020 menganggarkan bahawa setiap tahun, sejumlah 2.4 juta kematian pesakit kanser di seluruh dunia adalah berkaitan dengan penggunaan tembakau. Di Negara Brunei Darussalam, menurut kajiselidik kebangsaan STEPS NCD 2016, kadar merokok adalah dalam 20% atau 1 dalam 5 orang dewasa adalah perokok, yang mana 36% atau 1 dalam 3 lelaki dewasa adalah perokok.  Disamping itu, satu kajiselidik Global mengenai Penggunaan Tembakau Di Kalangan Belia (Global Youth Tobacco Survey) di sekolah-sekolah yang dijalankan pada tahun 2019 di kalangan remaja yang berumur 13-15 tahun telah mendapati bahawa 9.2% atau 1 dalam 10 remaja adalah perokok atau menggunakan produk tembakau, dan lebih dari separuh (52%) daripada remaja telah melaporkan pernah terdedah kepada second hand smoking.


8.  Majoriti negara-negara lain termasuklah Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam pengawalan tembakau. Namun ianya masih jauh dari mencukupi kerana masih banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam mengurangkan penggunaan tembakau. Diantara cabaran-cabaran yang perlu diambil perhatian adalah dalam mengawal kemasukan tembakau ke negara ini kerana penggunaan rokok dikalangan orang dewasa dan belia masih wujud walaupun tidak ada penjual tembakau sah yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam. Oleh dengan itu, disamping meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai mudarat yang disebabkan oleh penggunaan rokok dan secondhand smoke, Kementerian Kesihatan juga ada menyediakan klinik-klinik berhenti merokok di kesemua Pusat Kesihatan di setiap daerah di Negara Brunei Darussalam bagi mereka yang memerlukan bantuan untuk berhenti merokok.
 

9.  Sementara itu, pada bulan November 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melancarkan Global Strategy to Accelerate the Elimination of Cervical Cancer. Negara Brunei Darussalam telah menyokong resolusi ini di World Health Assembly 2020 dan berikrar untuk memberikan komitmen penuh melalui Kementerian Kesihatan dalam usaha untuk mencapai matlamat bagi menghapuskan penyakit kanser serviks sebagai masalah kesihatan awam menjelang tahun 2030. Antara sasarannya adalah:
 

  1. 90% remaja perempuan menerima vaksinasi penuh bagi vaksinasi Human Papillomavirus (HPV) menjelang umur 15 tahun;
  2. 70% wanita telah disaring menggunakan ujian berprestasi tinggi pada umur 35 dan 45 tahun; dan
  3. 90% wanita yang menghidap penyakit serviks menerima rawatan.

 

Negara Brunei Darussalam telah mencapai sasaran bagi vaksinasi dan rawatan, namun masih ada ruang lagi untuk memperbaiki sasaran 70% wanita yang layak disaring bagi penyakit kanser serviks. Oleh itu, saya ingin menyeru kepada semua wanita yang berkelayakan untuk turut mendaftar bagi pemeriksaan saringan kanser serviks di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak yang berdekatan.


10. Pengesanan awal penyakit kanser adalah merupakan komponen yang amat penting dalam pengawalan penyakit kanser, yang mana ianya membolehkan kita untuk mendiagnosis serta membuang tumor ketika ianya masih di peringkat awal serta meningkatkan survival ataupun jangka hayat pesakit. Oleh itu, orang ramai adalah sangat digalakkan dan disyorkan untuk menggunakan kemudahan fasiliti-fasiliti pemeriksaan saringan dan mengambil bahagian dalam program-program pengesanan awal yang telah disediakan oleh Kerajaan di Negara Brunei Darussalam. Program saringan kebangsaan bagi kanser payudara, serviks dan kolorektal ada ditawarkan di kesemua Pusat-Pusat Kesihatan dan Klinik-Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di seluruh negara, temasuk juga di Early Detection & Cancer Prevention Services (EDCP), Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC).


11.  Dengan adanya kemajuan di bidang penyelidikan bagi faktor risiko penyakit kanser, 'individual susceptibility' ataupun kerentanan individu untuk mendapat penyakit kanser tertentu adalah semakin difahami melalui perspektif molekul, termasuk ujian genetik dan teknologi penilaian risiko (risk profiling) bagi penyakit kanser. Di Negara Brunei Darussalam,  ujian genetik iaitu salah satu strategi bagi pengesanan awal penyakit kanser ada ditawarkan dalam fasa rintis (pilot phase) di Early Detection & Cancer Prevention Services (EDCP), Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC).
 

12. Sambutan Hari Kanser Sedunia memberi inspirasi kepada kita semua untuk bersatu dalam usaha memerangi penyakit kanser. Saya merasa kagum melihat ramai individu-individu serta kumpulan-kumpulan di dalam masyarakat yang aktif dalam tujuan mulia ini, samaada sebagai advocator, penjaga, pendidik, mahupun cancer survivors yang telah bekerja tanpa lelah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit kanser, membincangkan mengenai penyakit kanser, menghilangkan stigma dan pantang larang mengenai penyakit kanser, serta mengambil tindakan untuk mencegah dan mengurangkan beban penyakit kanser di Negara Brunei Darussalam. Marilah kita semua berjanji: "Saya Adalah dan Saya Akan" untuk memberi impak.

13. Maklumat lanjut mengenai Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan boleh didapati di laman web: www.ppkk.gov.bn atau pun laman sesawang Kementerian Kesihatan: www.moh.gov.bn.


-TAMAT-


Attachments