Sign In


PERUTUSAN

YANG BERHORMAT

DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA 2021

11 Mac 2020

 

TEMA:

" Hidup Sejahtera dengan Penyakit Buah Pinggang"

(Living Well with Kidney Disease)


1.          Setiap tahun, pada hari Khamis, minggu kedua bulan Mac, seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Buah Pinggang Sedunia sebagai suatu kempen kesedaran kesihatan bagi mempertingkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit buah pinggang dan kesan penyakit buah pinggang.

2.          Sambutan tahun ini membawa tema "Hidup Sejahtera dengan Penyakit Buah Pinggang" ("Living Well with Kidney Disease") yang bertujuan untuk memberi harapan dan motivasi kepada pesakit-pesakit buah pinggang bahawa mereka masih dapat menjalani kehidupan dengan baik dan mendorong pesakit-pesakit memperkasa kehidupan ke arah yang lebih sihat dan mengurus simptom dengan berkesan. Intipati tema ini menitikberatkan pendidikan kesihatan orang ramai agar lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan diri masing-masing.
 

3.          Penyakit buah pinggang ialah penyakit yang tidak berjangkit. Menurut kenyataan Jawatankuasa Antarabangsa Hari Buah Pinggang Sedunia 2020 iaitu selaras dengan Pertubuhan Nefrologi Antarabangsa, secara global 1 dalam 10 orang di seluruh dunia mengalami penyakit buah pinggang yang kronik. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dan adalah antara negara yang mempunyai kadar tertinggi pesakit buah pinggang di peringkat akhir atau "End Stage Kidney Disease" di dunia yang juga dikenali sebagai penyakit kerosakan buah pinggang yang kekal. Punca utama penyakit buah pinggang di Negara Brunei Darussalam adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi.


4.          Apabila buah pinggang gagal berfungsi dengan baik, bahan buangan yang biasanya dikeluarkan dari badan melalui air kencing akan kekal dalam darah menyebabkan hilang selera makan, loya, muntah, keletihan dan lemah badan. Apabila perkara ini berlaku, pesakit hanya mempunyai dua pilihan sahaja; sama ada menjalani rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Jika tidak dirawat, ianya boleh membawa kepada kematian.
 

5.          Pesakit buah pinggang seringkali menghadapi cabaran besar untuk menjalani gaya hidup secara normal dalam melaksanakan aktiviti harian mereka. Keadaan ini adalah kerana perubahan-perubahan yang berlaku disebabkan oleh penyakit dan rawatan yang perlu dijalani. Perubahan yang dialami merangkumi empat aspek utama iaitu:
 

    1. Aspek emosi seperti marah dan kemurungan;
    2. Aspek fizikal seperti penurunan berat badan secara mendadak , kulit berwarna sedikit kehitaman dan gatal-gatal;
    3. Aspek sosial seperti kurang keyakinan diri, putus asa dan sentiasa rasa letih; dan
    4. Aspek sosioekonomi seperti tidak dapat menjalankan pekerjaan disebabkan aspek emosi, fizikal dan sosial. Ini setentunya akan memberi kesan yang besar terhadap gaya hidup dan kualiti hidup pesakit. Perubahan-perubahan ini juga akan memberikan impak kepada orang sekeliling mereka termasuk keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.


6.          Berdasarkan kenyataan yang tersebut di atas, 1 dalam 10 orang di seluruh dunia mengalami penyakit buah pinggang yang kronik, bererti dianggarkan 10% (iaitu dalam 40,000 orang) dari jumlah penduduk Negara Brunei Darussalam menghidap penyakit buah pinggang kronik. Walau bagaimanapun, menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan pada akhir tahun 2020, data menunjukkan hanya lebih kurang 3000 orang pesakit di bawah penjagaan Klinik Penyakit Kronik Buah Pinggang di tahap serius, bagi keempat-empat daerah. Ini belum termasuk 881 orang pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir, yang memerlukan rawatan terapi penggantian buah pinggang.
 

7.          Terapi penggantian buah pinggang terbahagi kepada rawatan peritonil dialisis (cuci air), rawatan hemodialisis (cuci darah), dan rawatan pemindahan buah pinggang. Brunei Darussalam Dialysis Transplant Registry 2020, menyatakan dalam 85% pesakit memilih rawatan hemodialisis.
 

8.          Sejak tahun 2014, negara kita memperkenalkan polisi keutamaan dialisis peritonil (PD-preference policy) atas dasar peningkatan kualiti hidup dan kelangsungan hidup jangka pendek yang unggul lebih baik dengan dialisis peritonil. Beberapa tinjauan kajian antarabangsa menunjukkan terapi dialisis di rumah seperti dialisis peritioneal didapati secara konsisten telah terbukti meningkatkan autonomi, fleksibiliti dan kualiti hidup pesakit buah pinggang. Pesakit dapat menjalani rawatan dialisis peritoneal dengan selesa di rumah sendiri dan tidak perlu pergi ke pusat hemodialisis untuk mendapatkan rawatan yang selalunya mempunyai jadual rawatan yang terhad. Dengan cara ini, pesakit mempunyai lebih banyak fleksibiliti dalam menyesuaikan diri dari segi rawatan dialisis dengan gaya hidup mereka dalam menjalani rawatan dialisis, tanpa rasa sakit dan tanpa penggunaan jarum. Lebih penting lagi, waktu rawatan tidak menganggu waktu pekerjaan mereka dan tidak perlu melibatkan ahli keluarga menghantar dan menemani ke pusat rawatan.
 

9.          Tahun ini, selaras dengan tema Hari Buah Pinggang Sedunia, Jabatan Perkhidmatan Renal telah merancang beberapa aktiviti sepanjang tahun untuk memberigakan penyakit buah pinggang kronik dan pencegahannya serta menarik minat para pesakit buah pinggang untuk memilih rawatan dialisis perotonil (cuci air) sebagai pilihan utama jika mereka memerlukan rawatan terapi penggantian buah pinggang, dengan cara mengadakan bengkel, simposium dan aktiviti promosi kesihatan yang berorientasikan dialisis peritonil.
 

10.    Sementara itu, dari segi rawatan hemodialsis (cuci darah), negara kita mempunyai enam buah pusat/unit rawatan hemodialisis (cuci darah) yang telah disediakan di keempat-empat daerah, iaitu unit dialisis Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (1983), Pusat Dialisis Kiarong (1994), Pusat Dialisis Rimba (1998), Unit Dialisis Temburong (2008), Pusat Dialisis Kuala Belait (2009) dan Pusat Dialisis Tutong (2012). Tidak dinafikan jumlah pesakit buah pinggang meningkat dari setahun ke setahun. Ini bermakna keperluan tempat rawatan hemodialisis juga perlu di tambah untuk menampung keperluan pesakit.

 

11.    Oleh yang demikian, sukacita diumumkan mulai bulan Mac 2021, akan ada satu lagi pusat dialisis baru di negara ini untuk rawatan penyakit buah pinggang iaitu Unit Renal Dialisis Jerudong Park Medical Centre (JPMC). Unit Renal Dialisis JPMC ini merupakan kolaborasi antara Kementerian Kesihatan melalui projek PPP – Public Private Partnership dan ianya adalah pusat dialisis pertama di negara ini yang di swastakan.  Penswastaan ini dapat mengurangkan bebanan Kerajaan dari segi membina pusat dialisis baru dan, kerja-kerja pemeliharaan pusat dialisis yang berkaitan dengannya, serta menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan bantuan dan pengambilan kakitangan. Penswastaan merupakan kaedah alternatif yang di pilih oleh beberapa buah negara seperti Malaysia, Hong Kong, Arab Saudi mahupun negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan pada orang ramai, meningkatkan akauntabiliti dan dalam masa yang sama akan mengurangkan pergantungan kepada pihak kerajaan.

 

12.    JPMC adalah pilihan yang sesuai kerana sebahagian pesakit jantung, strok dan kanser yang menjalani rawatan di Gleneagles JPMC dan Pantai Jerudong Specialist Centre juga memerlukan rawatan hemodialisis, yang pada lazimnya perlu di hantar ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi tujuan haemodialiysis. Dengan adanya unit dialisis yang baru ini, ianya akan mengurangkan jumlah pesakit yang kadangkala menjalani rawatan dialisis akhir pada waktu malam hingga waktu subuh di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.  Ini adalah salah satu langkah untuk meningkatkan kesejahteraan pesakit dan secara tidak langsung bertambahnya slot rawatan mengikut masa dan hari yang sesuai dengan pesakit dan keluarga masing-masing kerana Unit Renal Dialisis JPMC dapat menawarkan khidmat rawatan sekurang-kurangnya seramai 102 orang pesakit.
 

13.    Syukur Alhamdulillah, kita sangat beruntung di Negara Brunei Darussalam kerana perkhidmatan kesihatan boleh di akses oleh semua rakyat dan penduduk di Negara ini. Tambahan lagi pelbagai rawatan dan ubat-ubatan diberi secara percuma jika dibandingkan di negara-negara lain. Walau bagaimanapun, ianya adalah tanggungjawab kita untuk sama-sama berusaha mengamalkan gaya hidup sihat, aktif dan mengikuti permakanan yang sihat serta seimbang dengan ubat yang berkesan.
 

14.    Dengan adanya sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia ini, insya Allah akan lebih ramai lagi mereka yang memahami akan penyakit buah pinggang termasuk pesakit, penjaga pesakit, ahli keluarga pesakit yang mana mereka ini akan dapat membantu mengurangkan beban dan gejala yang berkaitan dengan penyakit buah pinggang agar semua dapat menikmati kehidupan yang sihat dan sejahtera, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

 

-TAMAT-


Attachments